Obesiti merupakan penyakit kronik yang sering diendahkan dan kurang mendapat perhatian masyarakat dunia khususnya di Malaysia. Ia merupakan keadaan yang serius di mana seseorang individu itu mempunyai lemak dan berat badan yang berlebihan.

Obesiti bukan sahaja menyebabkan berat badan berlebihan tetapi juga menjadi faktor yang menyumbang kepada penyakit kronik.10 tahun yang lalu, obesiti hanya dikenalpasti sebagai faktor penyakit kardiovaskular dan penyakit jantung. Namun sejak 5 tahun kebelakangan ini, penemuan saintifik baru menunjukkan bahawa penyakit obesiti juga membawa kesan yang buruk kepada organ dalaman,peningkatan kadar kolestrol, penyakit diabetes, gout dan sebagainya.

 Pada tahun 2003-2004, negara Amerika Syarikat telah mencatat seramai 32.2% daripada penduduk dewasa mereka mengalami obesiti. Manakala melalui National Health Morbidity Survey yang dijalankan di Malaysia pada tahun 2011 mencatatkan 15.1% rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas adalah obes. Kadar ini menunjukkan peningkatan sebanyak sebanyak 1.1% berbanding 2006 dengan kadar purata 15.1%. Ini jelas menunjukkan bahawa seramai 2.6 juta populasi dewasa di Malaysia adalah obes dan menjadikan Malaysia negara yang mempunyai kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara.

Obesity boleh di ukur dengan menggunakan formula pengiraan Body Mass Index (BMI) atau Indeks Jisim Badan:

BMI = Berat (kg)/ Height2 (m2)

KlasifikasiBMI (kg/m2)Risiko Kesihatan
Kurang berat badan<18.5Rendah
Julat normal18.5 – 22.9Risiko meningkat tetapi boleh di terima
Berlebihan berat badan> 23 
Pra-Obes23.0 – 27.4Risiko meningkat dengan ketara
Obes 127.5 – 34.9Risiko tinggi
Obes II35.0 – 39.9Risiko sangat tinggi
Obes III> 40.0Risiko terlalu tinggi

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mendefinisikan BMI 30kg/m2 sebagai obes manakala BMI 25kg/m2 sebagai berat badan berlebihan. Namun demikian, masyarakat di negara Asia lebih berisiko untk mendapat penyakit berbahaya pada BMI yang lebih rendah dari skala yang dinyatakan kerana mempunyai kadar lemak yang lebih tinggi berbanding masyarakat negara barat.

Selain itu, pelbagai faktor yang menyumbang kepada obesiti, seperti;

Umur: Seiring peningkatan usia, kadar metabolisme dalam tubuh manusia akan semakin menurun dan kenaikan berat badan akan menjadi sangat ketara walaupun tabiat pemakanan tidak berubah.

Jantina: Kaum wanita lebih cenderung untuk mendapat penyakit obesiti berbanding lelaki kerana wanita mempunyai kadar metabolisme yang lebih rendah berbanding lelaki. Lelaki dikategorikan sebagai obes apabila mempunyai kadar lemak berlebihan sebanyak 25% manakala wanita pula sebanyak 35%.

Keturunan: Penyelidikan yang dibuat di Amerika Syarikat membuktikan anak-anak daripada keturunan ibu bapa yang bertubuh normal mempunyai 10% peluang menjadi gemuk. Peluang itu akan bertambah menjadi 40%-50% jika salah seorang ibu bapa mengalami masalah berat badan dan akan meningkat menjadi 70%-80% jika kedua-duanya menghidap obesiti.

Aktiviti Fizikal: Kurang melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan kaki dan bersenam boleh mengakibatkan proses pembakaran lemak terganggu. Secara umumnya, kandungan kalori yang berlebihan dalam badan dan tidak disertakan dengan sebarang aktiviti fizikal akan membuat badan semakin berisi, gemuk dan boleh mencapai tahap obesiti.  Justeru itu, pemakanan yang sihat dan melakukan aktiviti fizikal sangat membantu untuk mengekalkan keseimbangan berat badan dan sekaligus menghindar dari penyakit kronik.

Faktor psikologi: Kajian mendapati bahawa individu yang mengalami tekanan atau ketidakstabilan emosi lebih cenderung untuk mengambil makanan dalam quantiti yang lebih banyak

Penyakit: Pesakit yang menghidap hypothyroidism, kemurungan atau penyakit di bahagian otak biasanya akan mengambil makanan dalam kadar yang berlebihan dan secara tidak langsung memacu penyakit obesiti.

Ubat-ubatan: Ubat-ubatan seperti steroid atau ubat untuk merawat masalah kemurungan juga boleh menyumbang kepada penyakit obesiti

Konklusinya, setiap individu hendaklah memberi perhatian terhadap tahap kesihatan mereka dan penyakit obesiti ini. Saringan obesiti hendaklah diambil sekurang-kurangnya 3-4 bulan. Saringan obesiti adalah perlu supaya pesakit boleh mengetahui status kesihatan mereka. Pesakit obesiti hendaklah segera berjumpa doktor dan mendapatkan rawatan yang sewajarnya. Bukan itu sahaja, setiap individu seharusnya mengubah sikap dan menjalankan gaya hidup sihat dengan mengawal pemakanan serta meningkatkan aktiviti fizikal. Bak kata pepatah, “Badan Cergas, Otak Cerdas.